PKPD Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Kuarters Kakitangan Kinta Tamat Esok – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan Kuarters Kakitangan Kinta ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya keputusan itu dicapai selepas penilaian risiko dibuat pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“KKM telah melaksanakan 774 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 457 kes telah dilaporkan.

“KKM mengesahkan terdapat penurunan kes, kluster adalah terkawal dan kesemua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 369 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah tersebut sebanyak 330 dikompaun, 37 direman manakala dua dijamin.

Aktiviti pusat hiburan mencatat kesalahan paling tinggi melibatkan 155 individu diikuti kesalahan gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri pelanggan (77) serta tidak memakai pelitup muka (39).

Mengenai kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng pula, beliau berkata 35 pendatang tanpa izin ditangkap, selain lima kenderaan darat turut dirampas semalam.

Selain itu, 77 operasi sanitasi awam melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan dilaksanakan menjadikan jumlah kumulatif operasi ialah 18,525 sejak Mac 2020.

Ismail Sabri berkata seramai 801 individu tiba di pintu masuk antarabangsa semalam dan mereka telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Bagi warga asing pula, beliau berkata seramai 4,496 golongan itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 dengan 39 daripadanya didapati positif.

Katanya secara keseluruhan, sebanyak 608,093 pekerja asing menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 31,682 majikan, dengan 9,653 orang disahkan positif COVID-19 manakala 598,440 lagi negatif. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.