Peruntukan RM3.8 Juta Untuk Bantuan Seragam Sekolah Murid Orang Asli

KUANTAN, 12 Mac – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperuntukkan RM3.8 juta untuk bantuan set pakaian seragam sekolah kepada murid Orang Asli bermula tahun ini hingga 2023.

KPLB menerusi kenyataan media di sini hari ini memaklumkan bantuan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif mengurangkan peratus keciciran murid Orang Asli dan menggalakkan mereka ke sekolah.

“Sehingga kini, sebanyak 7,494 set bantuan persekolahan telah disampaikan oleh JAKOA di seluruh negara dengan 2,629 daripadanya disalurkan di Pahang.

“Selain bantuan seragam sekolah, KPLB juga menyediakan bantuan lain seperti pengangkutan dan bantuan wang saku dalam memastikan masyarakat Orang Asli mendapat pendidikan sempurna,” menurut kenyataan itu.

Majlis penyerahan bantuan itu turut berlangsung di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kechau 1 di Kuala Lipis, kira-kira 270 kilometer dari sini, oleh Timbalan Menteri I KPLB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis.

KPLB juga berharap inisiatif yang dilakukan kementerian bagi membantu masyarakat Orang Asli dapat membantu melahirkan generasi baharu yang bakal menjadi pemimpin, seterusnya menyumbang tenaga dan bakti kepada masyarakat tersebut dan negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.