Mangsa Kebakaran Pulau Gaya Diberi Bantuan Ringankan Beban – Shahelmey

KOTA KINABALU, 12 Mac – Bahan binaan rumah, makanan dan tempat tinggal sementara merupakan antara bantuan yang dihulurkan kerajaan kepada mangsa kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya malam tadi.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang mengenal pasti status tanah rumah berkenaan dan bantuan bahan binaan akan diberikan kepada tanah yang sudah diwartakan.

“Laporan daripada DBKK itu dijangka akan diperoleh dalam tempoh seminggu. Sekiranya ia tidak diwartakan maka, bantuan bahan binaan tidak dapat diberikan.

“Kita juga menanti laporan DBKK bagi mendapatkan rekod keluarga yang terlibat sama ada mereka warganegara atau bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Sembulan, hari ini.

Shahelmey berkata kerajaan melalui melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) telah menyediakan khemah sebagai tempat tinggal sementara mangsa di PPS bagi tempoh tiga hingga tujuh hari.

“Kita juga menyediakan makanan bermasak dan setelah mereka sedia meninggalkan pusat pemindahan ini, mereka akan dibekalkan dengan bantuan bakul makanan yang mencukupi sebagai bekalan untuk seminggu,” tambahnya.

Dalam kejadian kebakaran pada kira-kira 8.30 malam itu, sebanyak 73 rumah di atas air musnah sepenuhnya menyebabkan lebih 200 penduduk tinggal sehelai sepinggang manakala 757 kediaman lagi berjaya diselamatkan menerusi tindakan pantas pasukan bomba. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.