Elakkan Pembakaran Terbuka Dan Peka Dengan Senario Semasa Cuaca Negara – Sharkar

KUALA LUMPUR, 12 Mac – EXCO Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan Dan Komoditi Negeri Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin mengingatkan penduduk di negeri berkenaan agar peka dan tidak melakukan pembakaran secara terbuka ekoran senario cuaca semasa.

Menurut beliau bermula 3 Mac 2021, Negeri Pahang, Selangor dan Johor telah diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan Pembakaran Terbuka berkuatkuasa serta merta sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Berikutan itu, semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka atau menyebabkan pembakaran terbuka di tanah atau premis mereka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda atau didakwa mengikut undang undang sedia ada.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan berikutan peningkatan suhu yang sedang berlaku kini,” katanya di dalam facebook beliau, di sini, hari ini.

Tambah Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang seterusnya berkata agensi kerajaan negeri, kerajaan tempatan, pemilik premis dan semua pemilik tanah dinasihatkan supaya terus memantau secara rapi kawasan kawasan mudah terbakar dan mengambil langkah langkah bagi mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

“Sebarang laporan mengenai pembakaran terbuka juga boleh dilaporkan terus kepada pihak Jabatan Alam Sekitar di talian Hotline 1-800-88-2727 dan Unit Aduan JAS Negeri Pahang di talian 09-5730636/129/148/139. Bagi aktiviti keagamaan seperti pembakaran mayat bagi yang beragama Hindu, hendaklah memohon kebenaran dari pihak berkuasa terlebih dahulu. Makluman terkini akan terus dilaporkan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.