PKPD Di Dua Kawasan Di Sabah Dilanjutkan Hingga 26 Mac

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah yang dijadual tamat esok dilanjutkan hingga 26 Mac ini selepas masih terdapat kes positif baharu dalam kalangan penduduk.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan berkenaan dicapai selepas penilaian risiko dibuat pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 674 ujian saringan dengan 81 kes positif COVID-19 direkodkan. KKM mengesahkan terdapat 322 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan dan masih terdapat kes positif baharu dilaporkan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKP, hari ini.

Di Sarawak pula, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu mengikut jadual esok selepas mencatatkan penurunan kes, kluster di lokaliti itu terkawal dan kesemua kes positif serta kontak rapat diasingkan.

Sehingga kini, katanya sebanyak 1,311 ujian saringan telah diadakan oleh KKM di lokaliti berkenaan dan daripada jumlah itu sebanyak 13 kes dilaporkan.

Mengenai perkembangan seluruh negara, beliau berkata semalam sebanyak 70,009 pemeriksaan dilaksanakan Task Force Operasi Pematuhan menyaksikan 242 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan kesalahan tertinggi gagal menyediakan peralatan merekod diri.

Menerusi Operasi Benteng pula Ismail Sabri berkata 26 pendatang tanpa izin ditahan, selain sebuah bot dan empat kenderaan darat dirampas.

Pada hari sama, katanya sebanyak 88 lagi operasi sanitasi melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan dilaksanakan menjadikan keseluruhan setakat ini sebanyak 18,448 sejak 30 Mac tahun lepas.

Ismail Sabri berkata semalam juga sebanyak 619 individu tiba di pintu masuk antarabangsa dan telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin seluruh negara menjadikan keseluruhan yang tiba dan dikuarantin 141,294 individu sehingga kini, sejak 24 Julai tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, 6,955 individu dikuarantin, 133,329 dibenarkan pulang, manakala 1,010 lagi dibawa ke hospital,” katanya.

Mengenai warga asing, beliau berkata sebanyak 4,807 menjalani ujian saringan COVID-19 semalam dan 114 daripadanya positif menjadikan keseluruhan setakat ini 9,614 pekerja asing positif daripada 603,597 yang disaring.

Ismail Sabri turut menjamin bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi berdasarkan pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.