Parit Buntar Dan Bagan Serai Jadi Tumpuan Untuk Pembangunan – MB

BAGAN SERAI, 11 Mac – Kawasan Parit Buntar dan Bagan Serai di daerah Kerian berpotensi untuk terus dibangunkan sebagai kawasan perindustrian dan ekopelancongan berikutan kepesatan pembangunan di kedua-dua lokasi tersebut.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata ini kerana kedua-dua kawasan bandar itu kini menjadi tarikan kepada pelabur kerana kedudukannya yang berdekatan dengan jambatan kedua, Jambatan Sultan Abdul Halim Muazzam Shah dan Lapangan Terbang Bayan Lepas di Pulau Pinang.

“Kita masih ada tanah untuk pembangunan termasuk pembinaan kilang (di kedua-dua kawasan tersebut) kerana didapati kawasan industri di Pulau Pinang terutama di Batu Kawan juga telah padat,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelepasan benih udang galah dan beberapa jenis ikan di Sungai Kurau di Kampung Nibong Hangus dekat sini hari ini.

Ini merupakan Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) yang diadakan di daerah Kerian sejak 9 Mac hingga hari ini dan terdahulu, sebanyak 188,000 benih udang dan ikan bernilai RM25,000 telah dilepaskan di sungai berkenaan bagi tujuan pembiakan untuk membantu nelayan mendapatkan pendapatan.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya memberikan kelulusan untuk memajukan tanah sawah dengan projek perumahan di kawasan jelapang padi di negeri ini bagi mengelakkan industri dan keselamatan makanan khususnya padi terjejas.

“Setiap tanah sawah yang ditukar syarat untuk tujuan pembangunan perumahan perlu mendapatkan kebenaran merancang dan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco),” tambahnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.