Ismail Sabri Dapat Perintah Mahkamah Paksa Anina Padam Siaran Fitnah

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperoleh perintah mahkamah untuk memaksa bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Anina Saadudin dengan serta-merta memadamkan kesemua penyiaran fitnah mengenai beliau di akaun media sosialnya.

Ahli Parlimen Bera itu memfailkan saman terhadap Anina, 46, atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi Facebook (FB) miliknya bahawa beliau tidak kompeten dalam menjalankan tugas ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ismail Sabri yang diwakili peguam Ragunath Kesavan memberitahu pemberita bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril turut membenarkan permohonan kliennya, secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan perintah injunksi, petang tadi.

“Mahkamah juga menetapkan pada 25 Mac ini untuk pengurusan kes,” kata peguam itu.

Dalam permohonan secara ex parte yang difailkan bersama writ saman pada 5 Mac lalu, Ismail Sabri, 61, memohon perintah injunksi bagi memaksa defendan (Anina) dengan serta-merta memadamkan kesemua penyiaran fitnah mengenai plaintif di laman Facebooknya.

Plaintif juga memohon perintah injunksi bagi menghalang Anina atau wakilnya daripada membuat penyataan fitnah menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan termasuk Facecook, YouTube, Twitter dan Instagram.

Ismail Sabri memfailkan permohonan itu atas alasan defendan secara berterusan sejak awal Februari lepas, menyiarkan kata-kata yang tidak benar dan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Plaintif mendakwa walaupun laporan polis telah dibuat, namun defendan masih tidak menyesal dan terus menyiarkan 12 kata-kata fitnah terhadap plaintif pada 13, 17, 18 dan 19 Feb serta 23 Feb lalu, mengakibatkan surat tuntutan bertarikh 24 Feb lepas dihantar, antara lain memohon supaya defendan dengan serta-merta memadamkan siaran fitnah itu.

Dakwa plaintif, defendan enggan membalas tuntutan plaintif dan terus menyiarkan dua lagi kata-kata fitnah terhadap plaintif pada 3 Mac lepas.

Beliau mendakwa 13 penyiaran kata-kata fitnah yang dibuat oleh Anina bermula 5 Feb hingga 3 Mac turut dikongsi oleh pengguna laman sosial Facebook.

Ismail Sabri berkata kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif adalah ‘boneka’ yang semata-mata melaksanakan perintah perdana menteri, tidak cekap dan kompeten dalam kerjayanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.