DUKE 2A Lingkaran Kampong Bharu: Hubung Kampung Baru Ke DUKE, AKLEH

PUTRAJAYA, 10 Mac – Kementerian Wilayah Persekutuan akan melaksanakan projek jalan raya menghubungkan Kampung Baru dengan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2A serta Lebuhraya Bertingkat Ampang- Kuala Lumpur (AKLEH) melibatkan kos RM250 juta.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata projek yang dinamakan DUKE 2A Lingkaran Kampong Bharu itu akan dimulakan secara berperingkat bermula tahun ini dan dijangka siap menjelang 2024.

Katanya ia dilihat penting untuk pembangunan semula Kampung Baru, selain menjadi prasyarat utama untuk membolehkan pembangunan lebih besar dilaksanakan.

“Seperti mana kita tahu, perancangan pembangunan semula Kampung Baru telah dibenarkan dengan plot ratio yang tinggi, jadi ia mesti mempunyai aliran trafik yang efisien.

“Ia akan menjadikan Kampung Baru lebih terbuka kepada sistem rangkaian trafik yang efisien, kerana sebelum ini ia agak terpencil dan dihubungkan dengan jalan kecil sahaja,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Annuar berkata projek yang itu akan membolehkan akses terus dari AKLEH ke Kampung Baru selain menghubungkan DUKE 2A ke Kampung Baru antaranya melalui Jalan Pekeliling, Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Uda.

Jelasnya satu terowong juga akan dibina dari Jalan Raja Abdullah melalui Jalan Sultan Ismail dan balik semula ke AKLEH bagi membentuk aliran trafik lebih lancar.

Sementara itu, Annuar turut berkongsi berkenaan pelaksanaan pengindahan tebing Sungai Gombak atau ‘River City’ sepanjang dua kilometer bernilai RM400 juta, bagi melengkapi Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) di Kuala Lumpur yang sedang dilaksanakan.

“Projek ‘River City’ atau ‘River Bank’ ini, akan menjadikan Sungai Gombak sebagai sungai dua tingkat dengan di permukaan sungai boleh dijalankan aktiviti rekreasi.

“Sementara di tebing sungai itu pula, akan dijalankan pembangunan moden bagi tujuan aktiviti riadah dan ruang perniagaan bagi peniaga kecil,” katanya.

Annuar berkata projek pengindahan tebing sungai menggunakan teknologi dari Korea Selatan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula jarak 700 meter di sekitar Kampung Puah sehingga ke kawasan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.