Dasar Bekerja Dari Rumah Masih Terpakai – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Dasar bekerja dari rumah bagi perkhidmatan awam dan industri di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih terpakai walaupun kesemua negeri kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kehadiran pegawai di kawasan PKPB adalah pada tahap 30 peratus, manakala bagi kawasan PKPP pada tahap optimum dan boleh beroperasi sepenuhnya.

“Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada ketua jabatan untuk melaksanakan arahan ini mengikut kesesuaian cara kerja masing-masing.

“Pihak MITI dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam akan membuat pengumuman sekiranya terdapat perubahan bagi pelaksanaan dasar itu untuk industri terlibat dan perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kebenaran mengadakan acara siaran langsung dengan kehadiran penonton bagi kawasan PKPB dan PKPP serta penggambaran luar studio bagi industri kreatif negara, bermula esok.

Antara prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan termasuk kehadiran 50 peratus kapasiti ruang acara di kawasan PKPB manakala bagi kawasan PKPP, jumlah kehadiran adalah mengikut keluasan premis dan tertakluk kepada penjarakan sosial.

Bagi kebenaran penggambaran di luar studio di kawasan PKPB dan PKPP, Ismail Sabri berkata ia tertakluk kepada SOP Pembangunan Kandungan Kreatif serta perlu mematuhi syarat ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai SOP bagi kebenaran tersebut boleh dirujuk di laman sesawang KKMM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Hostel Centennial, Kampung Acheh, Manjung, Perak ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

Katanya keputusan itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengenai operasi pematuhan, beliau berkata seramai 269 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP, dengan 251 daripadanya dikompaun.

Menurutnya jumlah individu yang ditahan semakin hari semakin berkurangan yang menunjukkan orang ramai semakin patuh kepada SOP.

“Jumlahnya makin berkurangan, jadi saya harap ini petanda baik. Jumlah yang ditahan kerana aktiviti pusat hiburan hanya 14 berbanding ratusan pada suatu ketika. Saya harap keadaan ini berterusan,” katanya.

Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada penjarakan fizikal (66 kes), tidak memakai pelitup muka (65) dan rentas negeri tanpa kebenaran (24).

Bagi Op Benteng pula, Ismail Sabri berkata seramai 29 pendatang tanpa izin ditahan manakala empat bot atau kapal serta kenderaan dirampas semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.