Tubuh Jawatankuasa Siasat Dalang Di Sebalik Buku Teks Sejarah – PEMENANG

GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mencari dalang di sebalik kandungan bab 6 Buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4.

Presidennya, Tan Sri Yussof Latiff berkata, penubuhan jawatankuasa menerusi Kementerian Pendidikan itu mampu membongkar sama ada individu berkenaan mempunyai agenda menerapkan ideologi komunisme dalam kalangan generasi muda.

“Selain itu, siasatan berkenaan sekali gus menunjukkan kesetiaan individu berkenaan kepada negara atau sebaliknya.

“Saya tidak mahu salahkan sesiapa atau kerajaan kerana bukan semua isi kandungan dalam buku teks Sejarah itu tidak betul cuma kita mahu cari siapa di sebalik kandungan bab 6 yang seolah-olah memperkecilkan fakta sebenar mengenai perjuangan askar Melayu,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Jalan Pemenang hari ini.

Menurut Yussof, pembelajaran bab 6 dalam buku berkenaan sebagai sumber rujukan di sekolah juga perlu dihentikan.

“Buku itu perlu dikaji semula kerana kita bimbang generasi muda khususnya pelajar sekolah terpengaruh dengan isi kandungan buku tersebut.

“Apa yang hendak saya tekankan di sini buku teks berkenaan boleh diperbaiki lagi khususnya bagi memberi kesedaran mengenai kekejaman komunis kepada penduduk ketika itu,” katanya.

Dilaporkan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Kementerian Pendidikan segera menarik balik buku sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan kembali fakta-fakta yang cuba dimanipulasi bagi merubah sejarah negara.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memandang serius unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagung-agungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks sejarah tingkatan 4 KSSM. – MalaysiaGazette

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.