PKPD Di Felda Jengka 1, 2, 7 Dan Felda Ulu Jempol Ditamatkan

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Jengka 1, 2, 7 dan Felda Ulu Jempol di Maran, Pahang ditamatkan lebih awal dari tarikh yang dijadualkan pada 15 Mac.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 471 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif hanya satu kes dilaporkan yang melibatkan lokaliti ini.

KKM mengesahkan kes positif hanya dikesan dalam Felda Ulu Jempol dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenal pasti, disampel dan diasingkan,” katanya dalam satu kenyataan berhubung PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) semalam.

Sementara itu, beliau berkata seramai 517 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP, dengan 513 dikompaun, manakala empat direman.

Kesalahan direkodkan ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (202), gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri pelanggan (95), tidak memakai pelitup muka (66), aktiviti pusat hiburan (64) serta rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (64), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (18), keluar rumah tanpa alasan munasabah (satu) dan lain-lain kesalahan (tujuh).

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata 33 pendatang tanpa izin ditahan manakala empat kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng semalam.

Mengenai kuarantin wajib, beliau berkata seramai 983 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan kesemuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Secara kumulatif, sejak 24 Julai 2020, seramai 140,154 individu telah pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 80 hotel dan 11 Institut Latihan Awam serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,477 individu telah dikuarantin dan 131,774 orang dibenarkan pulang manakala 903 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.