Melaka Lancar PSMJ 2035 Pacu Ekonomi Negeri

MELAKA, 8 Mac – Kerajaan negeri Melaka hari ini melancarkan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 dengan menggariskan 175 strategi melibatkan pelbagai pelan tindakan berbentuk program dan projek fizikal bagi tempoh 15 tahun akan datang.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata PSMJ 2035 adalah perancangan tindakan strategik, holistik serta komprehensif dengan menetapkan sasaran petunjuk ptestasi utama (KPI) untuk jangka pendek, sederhana dan panjang.

“PSMJ 2035 adalah kesinambungan dasar dan wawasan daripada para pemimpin terdahulu, menuju kegemilangan dan ia direncana untuk mempersiapkan Melaka menghadapi zaman perubahan mendepani Revolusi Industri (IR) 4.0, Ekonomi Digital dan Masyarakat 5.0 serta tuntutan teknologi pada masa hadapan.

“Segala proses, gerak kerja dan dasar PSMJ 2035 akan dilaksanakan melalui kombinasi pendekatan ‘bottom-up’ dan ‘top-down’ dan pelan ini adalah dokumen rujukan utama semua agensi sebagai pelan tindakan konkrit ke arah matlamat utama prestasi bagi mencapai kecemerlangan pentadbiran untuk setiap agensi di Melaka,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri dan Majlis Pelancaran PSMJ 2035 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata PSMJ 2035 akan memacu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan domestik serta asing, meningkatkan sektor pelancongan, pembangunan infrastruktur, pemulihan warisan dan peningkatan modal insan melalui pendidikan.

Katanya, lima Bidang Keberhasilan Utama Melaka (MKRA) turut ditetapkan selaras dengan pelaksanaan PSMJ 2035 iaitu IR dan ekonomi yang memfokuskan pada sektor agroindustri, bioteknologi, IR 4.0, perusahaan industri digital dan perkhidmatan maritim.

Sulaiman berkata MKRA kedua ialah kelestarian pembangunan kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan kemudahan infrastruktur awam lengkap termasuk menyediakan jaringan jalan raya yang mampan, menyelesaikan isu kesesakan jalan raya, kemudahan perkhidmatan kesihatan berkualiti, taman awam, kompleks sukan, kemudahan bekalan air, banjir dan sebagainya.

“MKRA ketiga melibatkan perluasan inisiatif pintar dan pemerkasaan data sebagai penyelesaian kepada pelbagai masalah perbandaran menerusi aplikasi pintar untuk pembangunan Melaka melibatkan Smart Mobility, Smart Economy, Smart Governance, Smart Energy dan Smart Living,” katanya.

Beliau berkata MKRA keempat memberi fokus kepada pembangunan ekonomi rakyat tempatan dengan menyediakan pelbagai bantuan antaranya peluang latihan, pembangunan kompleks perniagaan, gerai dan pusat penjaja bagi meningkatkan ekonomi.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga memberi fokus kepada pemerkasaan industri pelancongan dan pendidikan di peringkat global menerusi MKRA kelima. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.