Fasiliti KKM Mampu Kendali Pemberian Vaksin COVID-19 Kepada Jemaah Haji – Dr Adham

PUTRAJAYA, 8 Mac – Fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) mampu mengendalikan pemberian vaksin COVID-19 kepada jemaah haji Malaysia sekiranya ibadah haji dibenarkan tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata kerajaan Malaysia masih menunggu kuota haji yang akan diumumkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Sekiranya ibadah haji boleh dilaksanakan tahun ini, jumlah jemaah terlibat adalah antara 30,000 hingga 50,000. Ini mudah dilaksanakan oleh KKM,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai program imunisasi itu, di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq Al-Rabiah pada 3 Mac dilaporkan berkata vaksin COVID-19 adalah wajib kepada sesiapa yang mahu menunaikan ibadah haji dan akan menjadi satu daripada syarat utama haji.

Dr Adham berkata jemaah haji Malaysia akan diberikan vaksin sama ada Pfizer-BioNTech atau Sinovac, dan kemungkinan AstraZeneca sekiranya ia sampai ke Malaysia lebih awal.

Kumpulan pertama vaksin COVID-19 AstraZeneca ke Malaysia dijangka tiba pada suku kedua tahun ini.

Menurut Dr Adham, pemberian vaksin jenis Pfizer-BioNTech akan diberikan kepada jemaah haji bermula Mei ini kerana ia memerlukan dua dos sebelum mereka memulakan perjalanan ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji pada pertengahan Jun. – BERNAMA