Sumbangan Syarikat Korporat, Institusi Kewangan Sertai Program Jiwa Murni Dialu-alukan

BERA, 6 Mac – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan syarikat korporat, institusi kewangan termasuk bank, institusi zakat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk turut menyertai Program Jiwa Murni, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sumbangan itu, apabila dicampurkan dengan sumbangan daripada kerajaan negeri dan peruntukan RM10 juta yang akan diberikan oleh Kementerian Pertahanan kepada ATM untuk Program Jiwa Murni tahun ini, membolehkan lebih banyak projek dirancang demi kesejahteraan rakyat.

Setakat ini, bagi program tersebut, Ismail Sabri berkata ATM menerima peruntukan lebih RM1 juta daripada beberapa kerajaan negeri manakala kerajaan negeri Sarawak sendiri telah memberi sumbangan sebanyak RM1.5 juta.

“Penerima manfaat terdiri daripada mereka yang memerlukan termasuk kepada veteran tentera, sama ada membina baharu atau baik pulih rumah yang tidak terlalu teruk kerosakannya dalam jumlah lebih murah kerana banyak kos dijimatkan khususnya dalam tenaga kerja.

“Tempoh pelaksanaan juga lebih singkat kerana kita tidak perlu melalui proses perolehan seperti tender atau sebut harga yang perlu dilalui jika pembinaan dibuat menerusi jabatan atau agensi…seperti rumah baharu boleh disiapkan dalam masa 50 hari jika dilaksanakan oleh ATM,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pembinaan rumah seorang penduduk kampung, Mohd Tahir Nong Chik di Kampung Kuala Triang di sini hari ini, yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau berkata pembinaan rumah itu juga lebih mudah jika penerima rumah mempunyai tanah yang sesuai dijadikan tapak pembinaan atau jika kerajaan negeri boleh memberikan kerjasama meluluskan tanah.

Selain rumah, Program Jiwa Murni juga melibatkan kerja pembinaan atau penyelenggaraan kemudahan awam seperti masjid atau surau, tanah perkuburan Islam dan infrastruktur perbekalan air, membuktikan tugas tentera adalah lebih daripada hanya menjaga keselamatan.

Sementara itu, Mohd Tahir, 64, mengakui tidak pernah terfikir akan menerima sebuah rumah baharu yang jauh lebih baik daripada rumah asal, yang dibina arwah ayahnya Nong Chik Mat Arif kira-kira 60 tahun lepas, dengan menggunakan kayu dan atap zink.

“Saya kembali semula ke sini sejak setahun lalu selepas kehilangan kerja akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur dan sejak itu, membaiki mana yang penting dahulu.

“Tak sangka, dua minggu lepas saya diberitahu terpilih menerima rumah baharu kerana saya tidak pernah membuat permohonan…tahu-tahu sahaja dapat rezeki mendiami rumah baharu,” katanya.

Mohd Tahir yang kematian isteri pada 2007 berkata rumah baharu tiga bilik dengan dua bilik air yang bernilai RM65,000 itu akan menjadi lokasi berkumpul lima anak dan 10 cucu terutamanya pada cuti sekolah dan hari raya. – BERNAMA