Rentas Daerah: Melaka Optimis Pelancongan Negeri Mampu Bangkit Semula

ALOR GAJAH, 6 Mac – Kerajaan negeri Melaka optimis sektor pelancongan negeri itu yang merudum sehingga 70 peratus akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19, akan pulih semula tidak lama lagi susulan kebenaran rentas daerah yang bermula semalam.

Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata walaupun aktiviti pelancongan hanya dapat berlangsung dalam negeri, namun ia tetap membantu meningkatkan semula sektor berkenaan.

“Saya memang dah minta rentas daerah dibenarkan sejak awal PKP 1.0 lagi memandangkan Melaka ini negeri pelancongan dan hanya ada tiga daerah, tak seperti negeri lain.

“Kini saya bersyukur sebab sekarang kita sudah boleh rentas daerah dan ia akan merancakkan semula ekonomi dan sektor pelancongan di Melaka. Cuma saya harap orang Melaka patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan bolehlah melancong di tempat-tempat menarik dalam Melaka ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas lawatan ke Pasar Tani Masjid Tanah yang turut dihadiri Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Mohd Azraie Ramli.

Sulaiman berkata kerajaan negeri juga berharap kempen ‘Melakan Visit 3.0’ yang digerakkan semula baru-baru ini akan memacu sektor pelancongan negeri sekali gus memulihkan ekonomi penduduk Melaka.

Mengulas usaha kerajaan negeri membantu memasarkan nanas Moris, beliau menjelaskan FAMA Melaka telah membeli 20,000 biji atau 30 tan metrik nanas itu di beberapa outlet pemasaran FAMA seperti Pasar Tani, Medan Gerai Buah-Buahan Segar, Agrobazaar Rakyat dan MyRakyat.

“Ini antara langkah proaktif rentetan isu lambakan nanas Moris yang tidak dapat dijual disebabkan pembatalan pembelian oleh pihak pemborong terhadap pekebun mengikut jadual pengeluaran yang telah ditetapkan.

“Hari ini, FAMA Melaka menawarkan 4,000 biji nanas Moris di Pasar Tani Masjid Tanah dengan harga promosi tiga biji RM5 sahaja,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.