Lebih Ramai Petugas Barisan Hadapan Dapat Vaksin COVID-19 Di PKRC MAEPS

SERDANG, 5 Mac – Lebih ramai petugas barisan hadapan akan dapat menjalani proses vaksinasi COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), mulai minggu depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS merupakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang utama di kawasan Lembah Klang.

“Kita nak pastikan kakitangan barisan hadapan diberi perlindungan yang terbaik melalui vaksin,” katanya kepada media selepas melawat PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS, di sini hari ini.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit di fasiliti berkenaan termasuk mendengar taklimat daripada Pengarah PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS Dr Shahabuddin Ibrahim serta menyaksikan proses imunisasi kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Dr Shahabuddin, seramai 216 petugas barisan hadapan telah divaksinasi di fasiliti itu.

“Kapasiti sehari di sini, kami boleh vaksin seramai 96 orang dan bermula minggu hadapan kami jangka kapasiti akan meningkat kepada 144 orang sehari,” katanya.

Beliau berkata proses vaksinasi petugas KKM di fasiliti itu dijangka selesai Rabu depan, sebelum disusuli proses vaksinasi petugas dari agensi lain seperti polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam. – BERNAMA