Pembinaan Pan Borneo Sarawak Siap 60 Peratus, Sabah 45 Peratus

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Projek Lebuh Raya Pan Borneo, satu daripada projek utama di bawah Kementerian Kerja Raya, menunjukkan kemajuan positif apabila masing-masing mencapai kemajuan 60 peratus di Sarawak dan 45 peratus di Sabah.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagi projek Pan Borneo Sarawak, keseluruhan 11 pakej kerja dari Telok Melano ke Miri masih giat dilaksanakan, melibatkan kos pembinaan sebanyak RM16.117 bilion.

“Susulan penamatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 20 Feb 2020, pelaksanaan projek diteruskan menggunakan kaedah konvensional dengan pihak JKR Sarawak sebagai Superitending Officer (pegawai penguasa),” katanya ketika membentangkan pencapaian kementeriannya bagi 2020 di sini.

Bagi projek di Sabah, Fadillah berkata sebanyak 11 daripada keseluruhan 35 pakej kerja sedang giat dilaksanakan dengan status 45 peratus siap, manakala lima pakej kerja sedang di peringkat perancangan dan perolehan dan dijangka mula pembinaan pada tahun ini.

Kos pembinaan bagi 15 dari 35 pakej kerja melibatkan RM7.075 bilion.

Fadillah berkata kementeriannya akan mempercepatkan penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo dengan cadangan melantik Perunding Pengurusan Projek bagi membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak melaksanakan projek berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata pelantikan ini masih lagi dalam peringkat rundingan dan perlu menunggu keputusan muktamad Kementerian Kewangan.

“Oleh kerana JKR Sabah dan Sarawak mempunyai banyak projek besar sekarang ini, khususnya di Sarawak. Saya tidak fikir JKR Sarawak dapat menguruskan projek-projek tersebut sendirian.

“Syarikat pengurusan projek akan mengambil kembali mereka yang diberhentikan oleh PDP sebelum ini, dengan memberi keutamaan kepada mereka dari segi pekerjaan bagi pengalaman dan pengetahuan mereka dalam projek yang mereka laksanakan sebelum ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.