Individu Masuki Sabah, Sarawak, Labuan Perlu Jalani Ujian Calitan COVID

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Semua individu yang akan memasuki Sabah, Sarawak dan Labuan perlu menjalani ujian calitan COVID-19 tiga hari sebelum perjalanan setelah mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun ujian calitan tidak perlu dilakukan bagi pergerakan keluar dari dua negeri dan wilayah tersebut ke Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata individu yang memasuki Sarawak perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sejurus tiba di bumi Kenyalang itu.

“Perjalanan dari Sabah ke Labuan dan Sarawak perlu menjalani ujian calitan tiga hari sebelum berlepas manakala perjalanan dari Sarawak ke Sabah dan Labuan perlu menjalani ujian calitan tiga hari sebelum berlepas dan hanya individu dikesan negatif serta tidak bergejala dibenarkan ke Sabah dan Labuan.

“Perjalanan dari Labuan ke Sarawak perlu menjalani ujian tiga hari sebelum perjalanan dan kuarantin 14 hari di Sarawak manakala perjalanan dari Labuan ke Sabah juga perlu jalani ujian calitan dan hanya individu dikesan negatif serta tidak bergejala dibenarkan ke Sabah,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan kos saringan ujian COVID-19 dan kos kuarantin bagi rakyat Sarawak akan ditanggung kerajaan negeri itu sementara yang bukan rakyat Sarawak perlu menanggung sendiri kedua-dua kos berkenaan.

Ismail Sabri berkata hanya individu dengan keputusan negatif (ujian calitan) dan tidak bergejala sahaja dibenarkan masuk ke Labuan dan tidak perlu menjalani kuarantin.

Ismail Sabri menjelaskan larangan rentas daerah masih dikekalkan di Sabah dan Sarawak walaupun ia berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.