Iklan Jualan Vaksin COVID-19 Dalam Talian Palsu – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 4 Mac – Iklan penjualan vaksin COVID-19 secara dalam talian adalah palsu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM melalui unit forensik siber sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan INTERPOL, untuk memantau keadaan semasa dan juga penjualan vaksin dalam talian.

Bercakap pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata vaksin yang telah diberikan pendaftaran bersyarat, hanya boleh dibekalkan kepada pihak kerajaan dan pihak yang dibenarkan oleh kerajaan, iaitu untuk dijadikan pusat vaksinasi.

Iklan penjualan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dalam talian itu didakwa dijual dengan harga RM63.88.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai, agar memastikan mereka menerima vaksin COVID-19 dari fasiliti kesihatan KKM yang diberikan secara percuma, oleh kerajaan.

Mengulas isu sama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan tertipu dengan mana-mana pihak yang menawarkan vaksin COVID-19 secara panggilan.

Katanya hanya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja yang bertanggungjawab menguruskan vaksin COVID-19, termasuk pelaksanaan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan dengan menyelaraskan pendaftaran rakyat untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

“Maka urusan menentukan siapa yang boleh mendapatkan vaksin adalah dua kementerian itu (MOSTI dan KKM), yang mempunyai satu jawatankuasa khusus memastikan rakyat yang berdaftar divaksinkan,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Ismail Sabri mengesahkan terdapat pihak-pihak yang telah mengambil kesempatan, berhubung vaksin COVID-19 ini.

“Memang telah ramai ambil kesempatan, bukan setakat keluar secara dalam talian malah ada pihak-pihak yang datang kepada kita untuk ambil vaksin COVID-19, kononnya dia merupakan ejen dari negara-negara atau syarikat-syarikat tertentu,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.