Enam Hospital Pengajar Universiti Jadi Pusat Pemberian Vaksin – Noraini

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Enam hospital pengajar universiti (HPU) diberi tanggungjawab sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi membantu kerajaan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata HPU berkenaan melibatkan Pusat Pakar Perubatan Universiti Teknologi Mara (PPUiTM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

Noraini berkata keenam-enam HPU terbabit terlibat sebagai PPV bagi fasa pertama PICK dan telah menerima vaksin secara berperingkat sejak 25 Feb, dengan PPUM, HCTM UKM, HUSM dan SASMEC @IIUM mulai 1 Mac, manakala PPUiTM (2 Mac) serta HPUPM (mulai 15 Mac).

“Bagi Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), ketika ini masih belum berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dijadikan sebagai PPV. Permohonan telah dibuat kepada KKM dan HUMS bersedia sekiranya dilibatkan untuk fasa seterusnya.

“Sehingga kini, sejumlah 22,018 dos vaksin telah diperuntukkan KKM kepada HPU bagi kegunaan barisan hadapan di HPU,” katanya pada sidang media meninjau proses vaksinasi barisan hadapan di PPUiTM, Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Beliau berkata pemberian vaksin itu turut melibatkan sebahagian petugas di Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Pusat Kesihatan Universiti masing-masing.

Memperincikan pecahan pemberian dos vaksin suntikan pertama mengikut HPU, beliau berkata PPUM menerima 9,389 dos, HCTM UKM (4,134 dos), HUSM (3,148 dos), SASMEC @IIUM (2,370 dos), HPUPM (1,547 dos), PPUiTM (1,254 dos) dan HUMS (176 dos).

Beliau turut memaklumkan, kesemua HPU berkenaan telah mengendalikan kes pesakit dan ujian saringan COVID-19 sejak tahun 2020.

Ditanya sama ada HPU mempunyai kapasiti bagi menyimpan bekalan vaksin di bawah PICK, beliau berkata ketika ini KKM memutuskan bahawa HPU berperanan hanya sebagai PPV sahaja dan tidak dijadikan sebagai Pusat Simpanan Vaksin (PSV) berikutan kekangan peti sejuk beku sedia ada.

“Bagaimanapun, pihak KKM akan membekalkan tiga buah peti sejuk top-loading kepada SASMEC @IIUM serta sebuah peti sejuk top-loading dan empat buah cool box kepada HPUPM pada Mac 2021 bagi simpanan vaksin masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata beliau akan menerima suntikan vaksin pada masa yang bersesuaian kerana barisan hadapan yang antaranya doktor, jururawat dan petugas makmal di HPU yang berisiko perlu diberikan keutamaan.

“Saya percaya mereka ini frontliners yang perlu kita utamakan. Saya minta supaya mereka ini diberi keutamaan untuk mendapat vaksin, insya-Allah saya akan menerima vaksin pada fasa yang seterusnya, bukan takut tetapi beri keutamaan kepada frontliners di HPU,” katanya. – BERNAMA