COVID-19: Pelajar IPT Dikecualikan Bayaran Ujian Pengesanan – Dr Adham

PUTRAJAYA, 4 Mac – Kerajaan bersetuju mengecualikan fi atau bayaran ujian pengesanan COVID-19 bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pengecualian itu akan diberikan kepada pelajar warga Malaysia yang melakukan ujian COVID-19, di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selaras dengan usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19, semua pelajar perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan sesi pengajian. Maka, kerajaan akan menanggung semua kos ujian,” katanya yang mengganggarkan kos terlibat ialah sebanyak RM2.79 juta.

Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan buku bertajuk Impak COVID-19 Terhadap Insan, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya hari ini, Dr Adham berkata dianggarkan 18,600 pelajar IPT akan memulakan sesi pembelajaran fizikal secara berperingkat bermula 1 Mac lepas.

Buku tersebut dihasilkan sekumpulan penyelidik dari Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM berdasarkan pengalaman mendepani COVID-19 serta penyelidikan saintifik.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata setakat ini, 80,336 individu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, yang majoritinya ialah petugas barisan hadapan yang disenaraikan dalam Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula pada 24 Feb lepas.

Menurut Dr Adham, kira-kira 271 juta penduduk dunia telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan Amerika Syarikat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 80.5 juta penduduk, diikuti China 52.5 juta, Kesatuan Eropah (35.6 juta) dan United Kingdom (21.5 juta).

Menurutnya, Malaysia menduduki tangga ke-68 daripada jumlah keseluruhan negara yang telah dan sedang memberi suntikan vaksin COVID-19.

Beliau turut menyeru rakyat negara ini untuk mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di aplikasi MySejahtera, yang sehingga kini telah merekodkan pendaftaran kira-kira 2.7 juta individu. – BERNAMA