Arahan Bekerja Dari Rumah Masih Kekal – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Arahan bekerja dari rumah masih berkuat kuasa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri kini dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana hingga kini belum ada kenyataan yang menyatakan sebaliknya daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

“Belum ada laporan tentang perkara ini, setakat ini kekal seperti biasa.

“Insya-Allah kita akan bincangkan dalam mesyuarat nanti sama ada terdapat keperluan untuk mengekalkan (arahan bekerja dari rumah) atau mereka (pekerja) boleh mula bekerja di pejabat,” katanya pada sidang media perkembangan PKPB di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills di Bintulu, Sarawak bermula 5 hingga 18 Mac.

“Setakat 3 Mac 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 1,247 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 84 kes positif telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini,” katanya.

Selain itu katanya kerajaan juga memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka bermula 6 hingga 19 Mac ini.

“Hingga 3 Mac 2021, sebanyak 152 kes positif telah direkodkan yang melibatkan lima kakitangan, lapan ahli keluarga dan 139 tahanan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni yang terlibat serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Mengulas mengenai pelajar universiti dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini, Ismail Sabri berkata setiap individu tertakluk kepada undang-undang tanpa mengira peringkat umur.

“Dasar kita, siapa melanggar SOP dan melakukan kesalahan tidak membezakan sama ada pelajar atau sesiapa, bila mereka bersalah mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Mengenai perjalanan rentas negeri antara zon hijau, Ismail Sabri berkata perkara tersebut sedang diperincikan dan dipertimbangkan.

“Kita tidak mahu sekiranya diumumkan, ia akan jadi masalah, perkara ini sedang diteliti oleh Majlis Keselamatan Negara dan KKM, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.