305 Ditahan Semalam Kerana Ingkar SOP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk melandaikan gelombang ketiga penularan COVID-19, masih ramai yang terus berdegil dan 305 individu ditahan semalam kerana enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu seramai 296 individu dikompaun, lapan direman dan seorang lagi dijamin.

“Gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri merekodkan sebanyak 100 kes, tidak memakai pelitup muka (80), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (48), tiada penjarakan fizikal (40), aktiviti pusat hiburan (17), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (lima), keluar rumah tanpa alasan munasabah (tiga) dan lain-lain (12),” katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), Ismail Sabri berkata seramai 12 pendatang tanpa izin diberkas manakala 14 pendatang turut diusir menerusi dua operasi pengusiran.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 129 buah bot atau kapal di perairan negara,” katanya sambil menambah sebanyak 446 sekatan jalan raya Op Benteng dilaksanakan semalam, melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, beliau berkata semalam seramai 816 individu tiba di seluruh pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Katanya, secara kumulatif sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 135,018 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua mereka ditempatkan di 76 hotel dan 13 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,549 individu telah dikuarantin, 126,619 orang dibenarkan pulang manakala 850 lagi dibawa ke hospital,” katanya.

Ismail Sabri berkata bermula 20 April tahun lepas hingga semalam sebanyak 15,896 pemeriksaan melibatkan 8,996 tapak binaan dijalankan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), termasuklah 42 tapak binaan semalam yang didapati mematuhi SOP.

Beliau berkata semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula melakukan 1,199 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,193 premis mematuhi SOP manakala enam lagi diberi nasihat.

Mengenai ujian saringan COVID-19 warga asing, beliau berkata seramai 8,824 warga asing menjalani saringan dan daripada jumlah itu, 36 orang didapati positif COVID-19.

“Secara kumulatifnya, seramai 559,619 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 29,262 majikan, dan daripada jumlah itu, seramai 8,842 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 550,777 lagi adalah negatif,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.