Melaka Lancar Aplikasi ‘Perjalananku’, Perkukuh Pengangkutan Mampan

MELAKA, 2 Mac – Kerajaan negeri Melaka hari ini melancarkan aplikasi mudah alih interaktif, ‘PerjalananKu’ untuk memperkukuh perancangan pengangkutan mampan bagi negeri itu pada masa hadapan.

Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Idris Haron berkata PerjalananKu merupakan inisiatif Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka dengan kerjasama Program UK Global Future Cities.

Katanya aplikasi berkenaan akan merekodkan perjalanan isi rumah warga Melaka menerusi soal selidik secara dalam talian selama seminggu bermula 21 Mac ini, dan rakyat Melaka boleh memuat turun aplikasi itu di Google Play Store atau App Store untuk menyertainya.

“Sebanyak 3,000 responden diperlukan untuk menyertai soal selidik. Menerusi soal selidik itu, responden dan ahli keluarga perlu melakukan perjalanan harian mereka setiap hari seperti biasa dan ia akan direkodkan menerusi aplikasi berkenaan yang perlu diaktifkan sepanjang masa.

“Hasil kaji selidik menerusi aplikasi ini akan digunakan untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam hijau, mendorong perjalanan aktif dan meningkatkan kelestarian persekitaran dan sosioekonomi bandar,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad.

Mengulas lanjut, Idris berkata pelbagai hadiah menarik antaranya cabutan bertuah bernilai RM1,000 menanti responden yang berjaya menyelesaikan semua aktiviti yang diperlukan sepanjang tempoh seminggu soal selidik itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.