MB Perlis Utamakan Vaksin Kepada Barisan Hadapan, Rakyat Memerlukan

ARAU, 1 Mac – Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man tidak menyertai kumpulan terawal menerima vaksin COVID-19 di negeri itu hari ini kerana mahu mengutamakan barisan hadapan serta rakyat yang memerlukan.

Katanya disebabkan jumlah bekalan vaksin untuk pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Perlis terhad, beliau mahu memberikan dos yang diperuntukkan kepada penerima lain yang lebih memerlukan.

“Apa yang lebih utama ialah rakyat, jika ada lebihan insya-Allah saya akan ambil kemudian,” katanya kepada pemberita pada pelancaran fasa pertama program itu di peringkat negeri, di Klinik Kesihatan Kampung Gial, di sini hari ini.

Seramai 180 petugas barisan hadapan menerima vaksin tersebut di klinik kesihatan berkenaan, selain 108 di Klinik Kesihatan Beseri dan 54 di Klinik Kesihatan Felda Chuping pada program yang berlangsung serentak bermula 9.45 pagi.

Turut menerima dos pertama hari ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis Teh Chai Ann, Setiausaha Kerajaan Negeri Azman Mohd Yusof dan Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima suntukan itu, Teh berkata beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan dan meminta rakyat agar segera mendaftar untuk menjadi penerima vaksin tersebut menerusi aplikasi MySejahtera. – BERNAMA