Johor Jamin Tidak Ada Pilih Kasih Beri Vaksin COVID-19

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Kerajaan Johor memberi jaminan bahawa proses pemberian vaksin imunisasi COVID-19 akan dijalankan di negeri itu mengikut senarai yang dimuktamadkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata sehubungan itu, masyarakat tidak perlu bimbang akan timbul isu pilih kasih.

“Senarai (penerima vaksin) dibuat oleh kerajaan negeri tetapi ia tetap dikemukakan kepada pihak kementerian (KKM) dan di peringkat kementerian pula terdapat pelbagai proses untuk memastikan penerima vaksin fasa pertama ini adalah benar-benar petugas barisan hadapan KKM dan bukan KKM,” katanya kepada pemberita pada Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Johor, di sini hari ini.

Menurut Hasni, Johor menerima kumpulan pertama bekalan vaksin pada 21 Feb lepas untuk diberikan kepada 35,100 petugas barisan hadapan KKM dan agensi kerajaan lain yang terlibat secara langsung dalam pencegahan penularan wabak COVID-19.

“Petugas barisan hadapan di Johor ialah seramai 41,034 orang, jadi akan terdapat baki seramai 5,934 orang yang menerima suntikan ini pada fasa kedua,” katanya, menambah fasa pertama yang bermula hari ini hingga April melibatkan 70,200 dos.

Hari ini, Hasni menjadi individu pertama di Johor yang menerima suntikan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

Turut menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan; Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.