Beritahu Saya Jika Ada Langkau Giliran Untuk Vaksin COVID – Khairy

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Khairy Jamaluddin mahu mereka yang mempunyai maklumat tentang individu melangkau giliran bagi menerima vaksin itu agar melaporkannya terus kepada beliau.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata beliau telah memaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tentang pentingnya memastikan tidak berlaku “potong barisan”.

“Saya pandang sangat serius isu queue jumper ini. Saya telah maklum perkara ini kepada @DGHisham (Dr Noor Hisham) agar tiada pemotongan queue. Whistleblower (pemberi maklumat) boleh hantar e-mel secara anonymous terus kepada saya [email protected] dan saya akan siasat,” katanya dalam hantaran Twitter hari ini.

Menurut Khairy, pihaknya memantau komen-komen pengadu dalam media sosial berhubung mereka yang melangkau giliran.

“Saya segera kongsikan maklumat itu dengan Datuk Dr Chong [email protected] yang duduk bersama saya dalam pasukan petugas, untuk disiasat. Kami ambil serius setiap pendedahan yang dibuat. Vaksin itu merupakan ekuiti penting,” katanya.

Khairy merujuk satu hantaran pengguna Twitter Dr Rafidah [email protected] yang mendakwa beliau menerima maklumat mengenai langkau giliran mendapatkan vaksin dan mencadangkan Khairy menubuhkan saluran bebas untuk rakyat membuat aduan dan memastikan tindakan diambil terhadap mereka yang memotong barisan.- BERNAMA