Rizab Antarabangsa Malaysia Berjumlah US$108.6 Bilion Pada Akhir Jan 2021 – BNM

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Rizab antarabangsa Malaysia berjumlah US$108.63 bilion pada akhir Januari 2021, mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata aset mata wang asing lain berjumlah US$560.5 juta pada akhir Januari 2021.

Bank pusat berkata butiran terperinci rizab antarabangsa yang berdasarkan format SDDS IMF memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Menurutnya, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing, termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara berjumlah US$7.25 bilion.

“Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak US$6,58 bilion manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak US$535 juta pada akhir Januari 2021, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

“Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2,36 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.

BNM berkata, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$389.3 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain,” katanya.

Bank pusat juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit. – BERNAMA