Tiga Teras Strategi Untuk Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025

PUTRAJAYA, 19 Feb – Kementerian Pengajian Tinggi merangka tiga strategi teras bagi memperkasa program keusahawanan dalam kalangan graduan melalui Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2021–2025.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata tiga teras itu menumpukan kepada memantapkan ekosistem keusahawanan yang bersinergi dan holistik; memperkasakan jaringan keusahawanan berimpak tinggi dan menekankan keusahawanan yang berteraskan inovasi dan teknologi.

Beliau berkata pelan tersebut merupakan naratif baharu kepada program pembangunan keusahawanan di IPT yang juga bertepatan dengan satu daripada Fokus Strategik 2021 KPT.

Sepanjang pelaksanaan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016-2020, seramai 49,983 pelajar direkodkan menjalankan perniagaan dalam tempoh pengajian mereka, namun hanya 7,148 atau 14.3 peratus meneruskan kerjaya sebagai usahawan selepas tamat pengajian, katanya.

“Berdasarkan statistik tersebut, ditambah dengan impak pandemik COVID-19, maka adalah kritikal usaha pemerkasaan program keusahawanan dalam kalangan graduan semasa pengajian diberi penekanan dan penegasan baharu,” katanya ketika melancarkan pelan itu yang disiarkan melalui laman Facebook Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.

Noraini berkata secara umumnya kerangka strategi itu meraikan pembentukan ekosistem keusahawanan yang sinergistik antara keusahawanan akademik, industri, kerajaan dan komuniti dalam landskap sistem pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata pemerkasaan kurikulum keusahawanan di IPT yang turut ditekankan dalam pelan itu diterjemahkan melalui buku Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi.

Buku itu menekankan enam fokus utama pembangunan kurikulum program keusahawanan iaitu Asas Pengetahuan Dalam Keusahawanan; Pengetahuan Dalam Keusahawanan Lanjutan; Pengetahuan Dalam Bidang Perniagaan; Aktiviti Tambahan Kurikulum Keusahawanan; Kemahiran Pembangunan Manusia dan Aperantis Keusahawanan, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.