KM Melaka Nafi Mesej Penipuan Guna Nama, Gambar Ada Kaitan Dengannya

MELAKA, 19 Feb – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini menafikan mesej penipuan menggunakan nama dan profil gambar beliau di media sosial yang tular kononnya mempunyai kaitan dengan dirinya.

Beliau berkata tindakan pihak berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan ia bukan sahaja mencemarkan nama baik serta imej beliau malah menyebabkan kerugian dan kesusahan kepada pihak yang terpedaya sehingga menjadi mangsa penipuan.

“Saya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar dan menggunakan nama serta profil gambar saya untuk menipu dan memperdaya orang ramai di media sosial.

“Justeru itu, saya menggesa pihak berkenaan segera menghentikan perbuatan terbabit dan saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tindakan penipuan yang menggunakan nama dan profil gambar beliau di media sosial.

Hari ini tular di media sosial tindakan individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan profil gambar Sulaiman di aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon 010-3865922 meminta seorang individu membuat pemindahan wang sebanyak RM4,700 ke satu akaun atas nama individu lain. – BERNAMA