Sumbangan RM9.4 Juta Kepada 18,726 Mangsa Banjir – MB Pahang

KUANTAN, 17 Feb – Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM9.4 juta sebagai sumbangan wang tunai kepada 18,726 mangsa banjir yang melanda negeri itu awal bulan lalu, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata penerima sumbangan terdiri daripada ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara atau rumah saudara dan peniaga gerai serta rumah kedai yang turut terkesan, dengan setiap seorang menerima RM500.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga menetapkan pemberian bantuan bayaran sewa rumah selama tiga bulan kepada 27 KIR yang kehilangan rumah asal atau rumah tidak dapat diduduki akibat banjir dengan jumlah peruntukan sebanyak RM16,800.

“Keputusan ini dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, yang turut bersetuju menyumbangkan sebuah komputer riba kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang disenaraikan dalam Bantuan Kanak-Kanak Negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Semoga bantuan kewangan dan komputer riba yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban akibat bencana banjir serta masalah pembelajaran yang semakin mencabar ekoran pandemik COVID-19,” katanya.

Selain itu, Wan Rosdy memaklumkan mesyuarat hari ini juga mengambil maklum bahawa kerajaan Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah meluluskan peruntukan RM4.3 juta sebagai wang ihsan berjumlah RM500 kepada setiap 8,600 KIR di Pahang.

Banjir di Pahang yang bermula pada 3 Jan lalu melibatkan semua daerah kecuali Cameron Highlands, pulih pada 20 Jan lalu dan bencana itu mengorbankan tujuh nyawa. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.