Johor Salur RM20.5 Juta Bantuan Kepada Jabatan Pendidikan Negeri

JOHOR BAHRU, 17 Feb – Kerajaan Negeri Johor menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM20.5 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menerusi Agenda Johor Berkebajikan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2021, November lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata menerusi bantuan itu lebih 200,000 pelajar sekolah rendah dan menengah yang terdiri daripada keluarga berpendapatan RM3,000 hingga RM7,000 yang layak di negeri ini, akan menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM100.

Replika cek peruntukan itu disampaikan kepada Pengarah JPNJ, Shaharuddin Saari di Pejabat Menteri Besar Johor, di Iskandar Puteri disini hari, menurut satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang dan Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Mahadon Marnin.

Sementara itu, Shaharuddin mengucapkan terima kasih atas pemberian bantuan yang sememangnya dapat membantu ibu bapa untuk membeli barangan kelengkapan persekolahan bagi anak-anak mereka. – BERNAMA