600 Pendaftaran Calon Disasarkan Bagi Mewakili Dewan Belia Perak

IPOH, 17 Feb – Kerajaan Negeri Perak menyasarkan sebanyak 600 pendaftaran daripada golongan belia di negeri ini, untuk mewakili Dewan Belia Perak Yang Ketiga Sesi 2021/2022 di 59 keseluruhan kawasan Dewan Undangan Negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, tarikh pendaftaran bagi pencalonan perwakilan Dewan Belia Perak yang dijangka bersidang pada penggal kedua tahun 2021, dibuka mulai hari ini sehingga 7 Mac manakala pendaftaran pengundi pula dibuka pada pada hari ini sehingga 20 Mac depan.

“Bagi menyesuaikan diri dengan norma baru, platform untuk pencalonan dan pengundian Perwakilan Dewan Belia kali ini akan menggunakan platform dalam talian sepenuhnya, iaitu laman sesawang www.dewanbelia.perak.my,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Dewan Belia Perak Yang Ketiga Sesi 2021/2022, yang diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom Meeting di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata antara syarat-syarat asas dalam pemilihan perwakilan adalah terbuka kepada warganegara dan bermastautin di Perak sekurang-kurangnya lima tahun, serta belum pernah menyertai program Dewan Belia Negeri Perak atau pernah menyertai tidak melebihi satu sesi keahlian atau dua penggal.

Selain itu, katanya calon juga perlu fasih berbahasa Melayu dan berkemampuan untuk berkomunikasi dengan jelas, dan mendedahkan fikiran serta idea secara berterusan.

“Persidangan Dewan Belia Perak akan bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam setahun mengikut situasi semasa dan kewangan, namun persidangan dalam talian akan dilaksanakan sekiranya secara fizikal masih tidak dibenarkan.

“Usul yang dibentang, dibahas dan diluluskan dalam sidang Dewan Belia Perak harus diangkat oleh perwakilan sebagai projek yang perlu dilaksanakan selain memperkasakan semula persatuan-persatuan belia menerusi pencalonan perwakilan,” katanya.

Saarani berkata dewan belia itu diharapkan menjadi platform penting bagi golongan muda melontarkan idealisme terutamanya yang menyentuh kepentingan rakyat dan usaha menangani isu kemiskinan, pengangguran, lonjakan kos sara hidup, atau kekangan yang menghambat kehidupan rakyat, terutamanya dalam suasana penularan pandemik COVID-19.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Trong Jamilah Zakaria sebagai Speaker Dewan Belia Perak, dengan dibantu Presiden Majlis Belia Negeri Perak Aswannudin Hariffudin sebagai Timbalan Speaker 1, dan Presiden Alumni Dewan Belia Negeri Perak Muhammad Ariff Zaky Mohd Zolkafly sebagai Timbalan Speaker 2. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.