Pelan Transformasi Industri Mineral Dipersetujui Dalam Mesyuarat MMN – Shamsul Anuar

PUTRAJAYA, 16 Feb – Majlis Mineral Negara (MMN) dalam mesyuarat pertamanya yang berlangsung hari ini, bersetuju dengan cadangan kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) sebagai agenda baru pembangunan industri mineral di Malaysia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelan itu bertujuan membangunkan industri mineral secara menyeluruh dan bersepadu, melalui transformasi di setiap peringkat rantaian nilai iaitu sektor huluan, pertengahan dan hiliran.

“Ia bagi memastikan industri mineral dapat dibangunkan secara holistik dan memberi pulangan jangka panjang, serta sebagai salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat pertama MMN itu.

Jemaah Menteri pada 28 Ogos tahun lepas, bersetuju MMN diwujudkan semula sebagai platform utama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membincangkan isu-isu dasar dan operasi berkaitan industri mineral.

Mesyuarat MMN hari ini dipengerusikan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara dalam talian hari ini, yang dihadiri oleh menteri-menteri Persekutuan, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

Shamsul Anuar berkata, MMN akan memantau pelaksanaan TIM 2021-2030 yang sedang diusahakan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Beliau berkata sebanyak tujuh kertas telah dibentangkan pada mesyuarat hari ini, yang menyentuh mengenai beberapa dasar penting berkaitan pelan transformasi industri mineral, prosedur operasi standard perlombongan dan pengeksportan mineral, pengezonan kawasan mineral, dan kemampanan industri perlombongan dan perkuarian di Malaysia.

Katanya, MMN juga bersetuju dengan kerangka dokumen prosedur operasi standard (SOP) aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit dan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia.

Shamsul Anuar berkata, SOP itu akan dijadikan sebagai rujukan dan panduan oleh pihak berkepentingan seperti agensi persekutuan dan negeri, penggiat industri, badan profesional, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

“Inisiatif kerajaan dalam merangka dokumen ini, mampu memastikan pelaksanaan aktiviti perlombongan ini diusahakan secara mampan,” katanya.

Shamsul Anuar berkata, MMN turut dimaklumkan tentang cadangan pengezonan kawasan yang berpotensi untuk perlombongan dan perkuarian, dalam proses perancangan fizikal negara.

Beliau berkata, MMN juga dimaklumkan tentang isu penyelidikan dan pembangunan serta isu komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam, mengenai industri unsur nadir bumi (REE) yang dikenal pasti dalam kajian dilaksanakan Akademi Sains Malaysia.

Shamsul Anuar berkata, MMN turut mendengar pembentangan dari Agensi Angkasa Malaysia mengenai penggunaan teknologi angkasa, bagi tujuan eksplorasi dan pemantauan sumber mineral negara.

Ia merangkumi pembentangan mengenai keupayaan teknologi angkasa khususnya teknologi ‘remote sensing’, dalam pencerapan maklumat muka bumi untuk manfaat eksplorasi, perancangan dan pemantauan aktiviti berkaitan perlombongan mineral dan kuari, serta ketersediaan kepakaran teknologi di agensi tersebut untuk tujuan pembangunan atau pengoperasian. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.