COVID-19: Kes Sembuh Tertinggi Dicatatkan – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Malaysia mencatatkan kes sembuh tertinggi dalam tempoh 24 jam lepas apabila 5,718 kes dilaporkan sembuh, menyaksikan jumlah kes aktif COVID-19 dengan kebolehjangkitan menurun kepada 44,129 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu sekali lagi mencatatkan angka di bawah 3,000 iaitu 2,720 kes dilaporkan dengan kesemuanya melibatkan kes tempatan.

Beliau berkata Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,300 kes (47.8 peratus), diikuti Johor sebanyak 451 kes (16.6 peratus) dan Kuala Lumpur 318 kes (11.7 peratus).

“Jumlah keseluruhan kes baharu kini 269,165, manakala bagi kes sembuh pula 224,053. Selain itu, lapan kes kematian dilaporkan menjadikan kes kumulatif kematian setakat ini 983.

“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) kini 253 kes, dengan 118 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lapan kes kematian yang dilaporkan melibatkan tiga kes di Kuala Lumpur, dua kes di Selangor serta masing-masing satu kes di Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan, dengan lingkungan umur mangsa daripada 47 hingga 86 tahun.

Sebanyak 57 kes (2.1 peratus) yang dilaporkan melibatkan kluster di penjara, lokap dan depoh tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Bendera dengan 35 kes, Kluster Tembok Bukit Besi (14), Kluster Penjara Jalan Harapan (4), Kluster Penjara Seberang Perai (3) dan Kluster Tembok Taiping (1).

Sementara itu, beliau memaklumkan 19 kluster baharu dikenal pasti dengan 14 daripadanya berkaitan tempat kerja, empat komuniti dan satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi menjadikan jumlah kluster aktif kini 499.

“Kluster tempat kerja ialah Package Pengerang, Wawasan Kulai, Industri Cyber dan Jalan Pelepas Empat di Johor; Rawang Bestari, Jalan Industri Dua Belas, Jalan Industri Tiga, Jalan Lazuardi (Selangor); serta Simpang Tiga dan Jalan Apas Empat (Sabah).

“Selain itu, ia turut membabitkan Tapak Bina Jalan Segambut (Kuala Lumpur), Jengka Tujuh (Pahang), Jalan Day (Kedah) dan Jalan Kayu Manis (Perak). Bagi kluster komuniti pula, kesemuanya dikesan di Sarawak iaitu Gelong, Kidurong Dua, Kampung Sungai Maong dan Univista,” katanya dan menambah kluster kumpulan berisiko tinggi turut dikesan di Sarawak iaitu Jalan Geronggang.

Dr Noor Hisham berkata 79 kluster mencatatkan pertambahan kes dengan kluster yang merekodkan kes baharu tertinggi hari ini melibatkan Kluster Tapak Bina Damar iaitu 201 kes, Kluster Tapak Bina Jalan Segambut (173 kes) dan Kluster Industri Cyber (161 kes).

Sejumlah 516 kluster dilaporkan tamat, termasuk sembilan kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Thamby, Kluster Tapak Bina Hevea, Kluster Jalan Padu, Kluster Pasar Jalan Sentosa, Kluster Wawasan Gading, Kluster Jalan Datuk, Kluster Tampoi Jaya, Kluster Rantau Cempaka dan Kluster Keranji Tabuan, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.