PKPD Di Penjara Tapah Dan Kuarters Kakitangan Bermula Esok Hingga 1 Mac – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan akan dilaksanakan bermula esok hingga 1 Mac depan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD di kawasan itu bertujuan memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat bagi memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 187 saringan ke atas kontak rapat dan daripada jumlah itu, sebanyak 55 kes positif COVID-19 telah direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara itu sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Sungai Udang Melaka Tengah bermula 17 Feb hingga 2 Mac, kecuali bagi yang tinggal di kuarters kakitangan dan PKRC Penjara Sungai Udang akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

Ismail Sabri turut mengumumkan beberapa lokasi yang ditamatkan PKPD esok, seperti yang dijadualkan, iaitu Kampung Sungai Ud, Dalat, Sarawak serta Felcra Nasaruddin, Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1 Felda Bersia, masing-masing di Perak.

Keputusan itu dilakukan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 1,111 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP, dengan 1,040 daripadanya dikompaun manakala 71 lagi direman.

Beliau berkata antara kesalahan yang direkodkan adalah rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran dengan 306 kes, tiada penjarakan fizikal (300) dan gagal menyediakan peralatan merekod diri atau pelanggan (107).

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 22 pendatang tanpa izin ditahan manakala enam kenderaan darat dirampas.

Beliau menyatakan seramai 5,402 warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 semalam, dengan 11 daripadanya didapati positif COVID-19.

“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 373,587 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 16,969 majikan, dan daripada jumlah ini, seramai 7,234 orang telah disahkan positif,” katanya. – BERNAMA