Kerajaan Negeri Perak Terima RM32 Juta Sumbangan Bagi Tangani COVID-19

IPOH, 15 Feb – Kerajaan negeri menerima sumbangan berjumlah RM32 juta melalui Akaun Amanah Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak daripada pelbagai sumber bagi usaha menangani penularan wabak COVID-19, sehingga Khamis lepas.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata daripada jumlah itu, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan merupakan penyumbang utama dengan nilai keseluruhan peruntukan disalurkan berjumlah RM15 juta.

“Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menjadi penyumbang kedua terbanyak dengan jumlah penyaluran sebanyak RM4.7 juta.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut menerima sumbangan daripada pelbagai agensi seperti Badan Berkanun Persekutuan, Badan Berkanun Negeri dan sektor swasta yang secara kumulatifnya agensi-agensi ini telah menyumbang sejumlah RM8.9 juta ke dalam akaun amanah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Lawatan Kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 Ke Negeri Perak di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Saarani berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan juga telah membantu menyalurkan sumbangan ke dalam akaun amanah itu dengan jumlah kumulatif berjumlah RM3.4 juta.

Beliau berkata secara keseluruhannya, sebanyak RM24.8 juta telah dibelanjakan daripada sumbangan yang diterima melalui akaun berkenaan untuk pelbagai tujuan berkaitan pandemik COVID-19 terutamanya bagi membiayai kos pusat kuarantin di sekitar negeri Perak.

Kerajaan negeri katanya, telah membelanjakan sejumlah RM4.2 juta bagi membiayai kos pusat kuarantin di dalam Perak iaitu RM2.2 juta bagi tujuan penyediaan makan dan minum, RM1.5 juta bagi membiayai peralatan bukan perubatan dan lain-lain kos berkaitan pusat kuarantin serta RM536,000 untuk kos pusat kuarantin di hotel-hotel.

“Kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan berupa kotak makanan bagi penghuni-penghuni yang terlibat dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta telah dibelanjakan bagi kawasan-kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Beliau berkata sejumlah RM2.2 juta turut disalurkan bagi membiayai kos makan dan minum serta elaun petugas barisan hadapan selain telah meluluskan permohonan Jabatan Kesihatan Negeri Perak berjumlah RM760,000 bagi tujuan pembelian pakaian perlindungan diri (PPE) dan peralatan perubatan untuk kegunaan Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

“Sebanyak RM4.1 juta juga telah dibelanjakan bagi membiayai kos pengecualian Sewa Gerai di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan untuk mengurangkan beban peniaga-peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saarani memberitahu sepanjang pandemik COVID-19 melanda, sebanyak 43 kluster telah dikesan di Perak dengan 19 kluster masih aktif iaitu kluster yang melaporkan kes baharu dalam tempoh 14 hari.

Menurutnya, hingga semalam, sebanyak lima mukim berada dalam zon merah dengan bilangan kes semasa melebihi 41 kes melibatkan Taiping, Sitiawan, Bota, Ipoh dan Gerik manakala tiga mukim berada dalam zon jingga dengan bilangan kes semasa sebanyak 21 hingga 40 kes melibatkan Senggang, Chemor dan Hulu Bernam Timur.

Beliau berkata 41 mukim lagi berada dalam zon kuning manakala 29 mukim adalah zon hijau. – BERNAMA