Majlis TVET Negara Ditubuh Bagi Agenda Pemerkasaan TVET – Noraini

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Majlis TVET Negara (MTVET) ditubuhkan bagi menambah baik penyelarasan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam usaha memastikan laluan TVET sebagai agenda nasional, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Noraini berkata tiga teras strategik iaitu tadbir urus bersepadu dan terselaras, TVET dipacu industri dan mencorak masa hadapan, serta 12 strategi pemerkasaan, digariskan bagi memperkasa TVET sebagai agenda negara.

KUALA LUMPUR 17 Disember — Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika mempengerusikan mesyuarat atas talian bersama kepimpinan Wanita UMNO Pulau Pinang di Menara Dato’ Onn PWTC hari ini. Foto – FB Dato’ Dr. Noraini Ahmad.

“Selain itu, enam inisiatif utama telah dikemukakan sebagai hala tuju agenda pemerkasaan TVET iaitu merangka model pembiayaan mampan, membangun polisi untuk menggalakkan penyertaan industri, mewujudkan Pelan Penjenamaan TVET Nasional, menubuhkan TVET Collaboration Hub, mewujudkan polisi penyelarasan penawaran program TVET dan membangunan Data Raya TVET.

“Kolaborasi strategik merentas kementerian yang disokong oleh keterlibatan pihak industri akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan institusi pendidikan dapat merancang serta melatih pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri,” katanya.

Noraini berkata kementeriannya juga telah membentangkan dua kertas bagi menetapkan hala tuju penggubalan dasar berkenaan TVET negara iaitu Majlis TVET Negara: Mandat Baharu Agenda Pemerkasaan TVET dan Agenda Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional pada mesyuarat MTVET semalam.

Beliau berkata mesyuarat yang diadakan buat julung kali itu dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan disertai menteri-menteri kabinet serta wakil industri secara dalam talian.

Selain dianggotai tokoh industri dan wakil akademia yang juga rakan strategik perkongsian data, kepakaran, teknologi, ilmu baharu dan kajian signifikan bagi manfaat pembuat dasar dan pengamal TVET, majlis ini turut dianggotai pelbagai kementerian dan agensi lain.

Dalam hantaran sama, beliau memaklumkan struktur tadbir urus majlis itu terdiri daripada tiga peringkat iaitu Majlis TVET Negara, Jawatankuasa Eksekutif MTVET dan Kumpulan Fokus TVET.

“Majlis TVET Negara dipengerusikan oleh Perdana Menteri manakala Jawatankuasa Eksekutif MTVET dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

“Kumpulan fokus MTVET pula dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.