Melaka Bebas Berniaga : Sasar 2,000 Penjaja

MELAKA, 11 Feb – Kerajaan negeri Melaka menyasarkan penglibatan kira-kira 2,000 penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negeri, dalam program ‘Melaka Bebas Berniaga’ pada suku pertama tahun ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, inisiatif berkenaan adalah sebagai langkah membantu penjaja dan peniaga kecil serta rakyat, menjana pendapatan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Beliau berkata malah menerusi Belanjawan Negeri Melaka 2021, kerajaan negeri turut mengumumkan Dana Bantuan Kasih Niaga kepada rakyat Melaka berjumlah RM1 juta, sebagai galakan untuk mereka menceburi bidang perniagaan.

“Kita amat mengalu-alukan mana-mana rakyat Melaka, terutamanya kepada mereka yang kehilangan pekerjaan dan dipotong gaji, untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai, bermula 1 Jan lepas sehingga 31 Dis ini.

“Bagaimanapun mereka mestilah mendapatkan lesen perniagaan terlebih dahulu, daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing selain mematuhi elemen kebersihan, kesihatan dan keselamatan, serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan lesen kepada penjaja dan peniaga kecil di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan Sulaiman menyerahkan lesen penjaja Majlis Perbandaran Han Tuah Jaya (MPHTJ), kepada 14 penjaja dan peniaga kecil di sekitar Jalan Tun Hamzah, Bukit Katil di sini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.