UMNO Tidak Boleh Bersendirian Hadapi PRU-15 – Annuar

KOTA BHARU, 2 Jan – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menegaskan UMNO tidak boleh ‘bersendirian’ dalam arena politik sekiranya ingin memperoleh kejayaan terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Annuar berkata bergerak secara solo bukanlah satu formula kemenangan kepada UMNO dan beliau juga tidak mempersetujui keputusan itu sekiranya wujud beberapa pihak dalam parti yang menyuarakan pendapat untuk menolak segala perikatan yang terjalin dengan parti lain.

“Kita (UMNO) jangan khayal hendak bergerak solo, kalau ada yang mahukan, maka saya tidak setuju. Ia bukanlah formula kemenangan. Saya pun sayang parti tetapi kalau pendapat saya salah, maka salahlah.

“Bagaimanapun, saya sendiri ada buat kajian sebelum ini dan melihat realitinya UMNO tidak boleh bersendirian kalau nak berjaya. UMNO perlu bekerjasama dengan konsep ‘taawun’ (tolong menolong) dan ‘tahaluf’ (muafakat) kalau kita nak berjaya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh dekat sini, hari ini.

Annuar berkata demikian ketika mengesyorkan lima perkara untuk bergerak ke hadapan yang perlu dititikberatkan setiap ahli termasuk pimpinan UMNO bagi membangkitkan semula kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap parti berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata UMNO juga seharusnya menjadi parti yang mengetuai serta memimpin ke arah penyatuan ummah dan bukannya menjadi punca berlakunya perpecahan antara satu sama lain, sama ada dalam mahupun luar parti.

“UMNO jangan jadi juara dalam perpecahan. Saya sangat tidak setuju kalau kita pula yang jadi punca perpecahan. Nak tolak orang itu, nak tolak orang ini. Macam kita kuat sangat. Itu satu sifat sombong yang saya tidak fikir ia boleh beri kebaikan kepada parti,” ujarnya.

Selain mendengar suara akar umbi parti, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata UMNO perlu keluar daripada ‘kepompong’ lama yang menjadi sebab utama rakyat menolak UMNO daripada pelbagai aspek termasuk individu, program dan dasar parti politik tersebut.

“War lord itu bukanlah akar umbi, peringkat saya iaitu ketua bahagian ini bukannya akar umbi sebab mungkin kadang-kadang kita bercakap atas nama peribadi kita. Kita tidak bincang lagi dengan ahli-ahli di bawah dan kalau kita bawa kepada ahli di bawah sekalipun, kita kena faham kita masih minoriti.

“Majoritinya rakyat adalah pengundi yang bukan daripada ahli kita. Maka, yang penting bagi saya ialah kena dengar suara rakyat juga selain mendengar suara akar umbi,” jelasnya.

Di samping itu, Ahli Parlimen Ketereh itu juga menggesa supaya UMNO kembali kepada asas yang dekat dengan naluri dan hati umat Islam dan orang Melayu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.