Lebih 1,000 Graduan Bakal Terima Manfaat Dalam Industri Binaan Melalui MYJob@Wilayah – Annuar

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Lebih 1,000 graduan muda dijangka mendapat pendedahan dalam industri binaan di bawah skim MYJob@Wilayah yang bertujuan antara lain menyediakan peluang pekerjaan sementara kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di akaun Twitternya memaklumkan sebanyak 30 pemaju akan terlibat dalam usaha berkenaan.

“Insya-Allah kira-kira 1,000 atau lebih graduan muda dijangka dapat pendedahan kepada industri binaan di bawah skim MyJob@Wilayah dengan kerjasama lebih 30 pemaju di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Ketika dihubungi Bernama, Annuar berkata pemaju yang akan terlibat termasuk MRCB Berhad, JL99 Sdn Bhd, Mah Sing, Platinum Victory, Ekovest Sdn Bhd dan Binastra Sdn Bhd.

“Setakat September 2020 sebanyak 653 jawatan telah ditawarkan,” katanya.

Dilancarkan Julai lepas di bawah pelan Wilayah Prihatin, skim berkenaan menawarkan lima lagi bidang pekerjaan selain pembinaan iaitu perkhidmatan, penyelenggaraan, pembersihan, pembuatan dan pembungkusan.

Selain skim tersebut, pelan Wilayah Prihatin juga merangkumi MYSchoolBus@Wilayah, MYFood@Wilayah, MYGrocer@Wilayah dan MYMedic@Wilayah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.