Keputusan Muktamad Benarkan DCA Bukan Bidang Kuasa Kementerian Luar

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Memuktamadkan keputusan membenarkan pelaksanaan skim ketiga pembukaan sempadan Malaysia-Singapura iaitu ‘Daily Commuting Arrangement’ atau DCA bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Negeri.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata keputusan berhubung perkata itu hanya boleh diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

‘’Memandangkan Kerajaan Negeri Johor menyatakan mereka telah bersedia untuk melaksanakan DCA, Kerajaan Negeri Johor perlu membentangkan perancangan mereka secara terperinci kepada MKN dan JIM serta membincangkannya dengan Kementerian Kesihatan.

‘’Hanya apabila MKN, JIM dan KKM sebulat suara memutuskan agar DCA boleh dilaksanakan, barulah Kementerian Luar Negeri akan memainkan peranan untuk berunding dengan Kerajaan Singapura,’’ menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata keputusan membenarkan pelaksanaan DCA perlu perbincangan dan persetujuan daripada semua pihak berkaitan kerana ia berkait rapat dengan isu keselamatan dan kesihatan negara.

Hishammuddin berkata kementeriannya juga telah mengemukakan cadangan kerajaan Johor supaya tempoh kuarantin bagi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air yang bukan di bawah kategori Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), hanya 7 hari di pusat kuarantin dan rumah masing-masing.

‘’Kementerian Luar Negeri telah mengajukan cadangan ini kepada KKM untuk maklum balas dan pertimbangan.

“Sekali lagi saya tegaskan, Kementerian Luar Negeri bukan pihak yang boleh membuat keputusan dalam soal kuarantin ini,’’ katanya.

Selasa lepas, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menyarankan prosedur operasi standard (SOP) khusus kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembukaan skim ketiga iaitu DCA selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan PCA dengan Singapura.

Hasni berkata pembukaan skim ketiga itu amat penting bagi memudahkan lagi pergerakan rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura sejak penutupan sempadan Malaysia dan Singapura, lapan bulan lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.