Pahang Kutip Hasil RM680.74 Juta Setakat 30 Okt

KUANTAN, 12 Nov – Kerajaan Pahang berjaya mengutip hasil RM680.74 juta setakat 30 Okt lepas, yakni 91.49 peratus daripada sasaran RM744.02 juta yang ditetapkan pada pembentangan Belanjawan 2020 negeri tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keadaan kewangan yang kukuh membolehkan Pahang memulangkan semula kepada rakyat bukan hanya dalam bentuk projek pembangunan, tetapi juga menerusi pemberian pelbagai sumbangan kepada mereka yang berdepan musibah.

“Walaupun sumbangan ini tidak dapat membantu sepenuhnya, namun ia sekurang-kurangnya diharapkan dapat meringankan sedikit beban yang dihadapi pihak terlibat,” katanya dan menambah keadaan ekonomi tahun ini memang amat mencabar disebabkan kemunculan pandemik COVID-19.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada 99 Mangsa Ribut Indera Mahkota 2 pada 29 Okt lepas, di Dewan Yew Hong semalam.

Majlis hari ini menyaksikan Wan Rosdy menyampaikan sumbangan bernilai RM140,000; yang melibatkan 41 orang menerima sumbangan wang tunai RM2,000 seorang selepas rumah mereka dikategorikan sebagai rosak teruk manakala bakinya masing-masing menerima RM1,000.

Wan Rosdy berkata walaupun pemberian sumbangan berlangsung hari ini, namun bantuan segera telah dihulurkan pada hari kejadian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Saya bersyukur tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam bencana itu, dan berterima kasih kepada banyak pihak yang turut sama membantu meringankan beban mangsa ribut.

“Selain itu, sikap tolong-menolong kejiranan di sini terserlah apabila saling membantu memasang dan membaiki bumbung yang rosak dibadai ribut, membolehkan kerja itu disiapkan dalam tempoh yang cepat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.