Maklumat Berterusan Elak Stigma Masyarakat Terhadap Pesakit COVID-19 – Adham Baba

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memberikan maklumat secara berterusan kepada masyarakat bagi mengatasi stigma terhadap pesakit atau bekas pesakit COVID-19 dan keluarga yang boleh menggugat kesejahteraan emosi mereka.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata antara usaha yang dijalankan ialah slot penerangan di televisyen, radio serta video tentang maklumat penyebaran virus COVID-19 dan risiko jangkitan bagi pesakit COVID-19 yang telah sembuh.

“Penerangan ini dilaksanakan bagi memberi kefahaman bahawa risiko jangkitan rendah bagi mengelak stigma terhadap pesakit dan keluarga,” katanya dalam jawapan bertulis pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (UMNO-Parit) yang mahu menteri kesihatan menyatakan usaha yang telah dilaksanakan oleh kementerian bagi menghapuskan stigma terhadap bekas pesakit COVID-19 serta mengenai impak jangka masa panjang stigma itu kepada emosi individu yang terkait.

Dr Adham berkata KKM juga mengedarkan infografik secara maya melalui portal serta Facebook KKM agar masyarakat sedar dan cakna bahawa stigma boleh memudaratkan emosi seseorang yang berkaitan.

Selain itu katanya, pelaksanaan perkhidmatan Bantuan Talian Sokongan Psikososial KKM yang dilakukan dengan kerjasama agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memberi penerangan dan pendidikan kepada pemanggil yang rata-ratanya memerlukan sokongan emosi akibat kebimbangan jangkitan COVID-19 melalui ahli keluarga atau individu rapat yang telah disahkan positif.

“KKM juga memberi sokongan emosi pesakit dan keluarga di semua kemudahan kesihatan yang merawat pesakit COVID-19 dengan mengadakan sesi kaunseling, intervensi psikologi serta pelbagai terapi ringkas yang lain seperti terapi seni, terapi relaksasi pernafasan dan saringan kesihatan mental.

“Bantuan awal psikologi juga diberikan kepada individu berkaitan jika keadaan emosi mereka tidak stabil atau dalam keadaan krisis emosi,” katanya.

Dr Adham berkata antara impak jangka panjang terhadap individu yang mengalami kesan stigma ialah cenderung ke arah mengalami emosi yang mudah terganggu, tahap resilien yang rendah, sensitif, kurang fokus, rasa rendah diri dan menjurus kepada pelbagai isu kesihatan mental lain sehingga boleh menjejaskan fungsi kehidupan harian.

Keadaan itu, katanya secara langsung akan memberi kesan kepada kesihatan fizikal seperti simptom somatik, badan berasa lemah, sakit kepala dan berasa degupan jantung lebih laju. – BERNAMA