RCEP Ditandatangani Pada ASEAN Ke-37- Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan dimeterai pada Persidangan Kemuncak ASEAN Ke-37 yang akan berlangsung mulai Khamis ini.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Para pemimpin ASEAN akan turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat-mesyuarat berkaitan ASEAN di sini hari ini.

Rundingan RCEP yang dimuktamadkan pada Kemuncak ASEAN Ke-35 di Bangkok pada 2019 ini dianggotai oleh 10 negara ASEAN serta lima rakan dialognya iaitu Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Perjanjian RCEP akan menjadikan perkumpulan ini sebagai perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, meliputi hampir separuh populasi dunia dan pada masa sama menyumbang satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia

Selain itu Hishammuddin berkata, tiga dokumen rasmi juga akan dilancarkan kali ini iaitu Dokumen Kajian Jangka Pertengahan Visi Komuniti ASEAN 2025, Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN dan Rizab Bekalan Perubatan Serantau ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang Kemuncak ASEAN ke-37 secara maya dari ibu kota bermula Khamis hingga Ahad ini.

Persidangan tahun ini yang dihoskan Vietnam terpaksa diadakan secara maya berikutan penularan pandemik COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.