Kadar Langganan Projek SUBB, RBB Meningkat Kepada 45 Peratus – Zahidi

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Kadar langganan jalur lebar talian tetap melalui projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) meningkat sebanyak sembilan peratus iaitu 45 peratus berbanding 36 peratus pada bulan September tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan sehingga September lepas, sebanyak 654,812 sambungan tersedia di seluruh negara menerusi projek itu.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memberikan tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan menggunakan pelbagai teknologi di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) mengenai inisiatif sedia ada dan akan datang KKMM bagi mengatasi masalah capaian Internet dengan lebih luas, laju, murah dan berkesan serta peratusan tahap capaian Internet di kawasan pinggir dan luar bandar susulan projek SUBB dan projek RBB.

Zahidi berkata melalui pelan program Jaringan PRIHATIN dan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), penambahbaikan infrastruktur digital yang dilaksanakan secara berfasa akan memberikan kualiti pengalaman yang sama rata antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Sasaran fasa pertama kini telah bermula sehingga tahun 2022 iaitu penambahbaikan daripada 4.95 juta premis kepada 7.50 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

“Perluasan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan yang berpenduduk serta mempertingkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps,” katanya.

Beliau berkata dalam memastikan lebih banyak kawasan akan mendapat liputan jalur lebar, kerajaan melalui MCMC sedang berusaha membangunkan perkhidmatan dan prasarana telekomunikasi negara dengan menggunakan teknologi 4G yang dilihat sebagai teknologi yang mampu dibangunkan dengan cepat dan kos berpatutan. – BERNAMA