SPM, SVM, STAM Dipinda Ke 22 Feb, STPM Pada 8 Mac Tahun Depan

PUTRAJAYA, 8 Nov – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda ke 22 Feb tahun depan, umum Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin hari ini.

Beliau turut mengumumkan tarikh baharu bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dianjak ke 8 Mac 2021.

Katanya, perincian mengenai semua peperiksaan awam itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Dr Mohd Radzi berkata bagi membantu calon peperiksaan awam membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula pada 20 Jan tahun depan.

“KPM berharap ruang yang ada ini dapat memberi manfaat kepada calon terkesan dengan penutupan sekolah,” katanya pada sidang media Pengoperasian Institusi Pendidikan Di Bawah KPM Serta Peperiksaan Awam Tahun 2020 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri I Datuk Dr Mah Hang Soon, Timbalan Menteri II Muslimin Yahaya dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Dr Habibah Abdul Rahim.

Beliau berkata jumlah calon yang berdaftar untuk menduduki SPM 2020 adalah seramai 400,445 pelajar manakala bagi SVM pula seramai 8,371 orang untuk Semester 4.

Calon STAM yang berdaftar pula adalah seramai 7,996 orang dan bagi calon STPM adalah seramai 47,008 orang.

Mengenai pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat, Mohd Radzi berkata KPM menangguhkannya kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Katanya, bagi peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang telah dijadualkan sehingga Disember ini dan masih belum diselesaikan, KPM akan menjadualkan semula semua pentaksiran tersebut dan memaklumkannya kemudian.

Mengenai kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi peringkat tertiari awam lain bagi tahun 2021, beliau berkata penjadualan semula peperiksaan awam itu tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta IPTA melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau berkata peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Dis ini juga ditangguhkan ke tahun hadapan dan maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan kemudian. – BERNAMA