Pentadbir, Ketua Kampung Di Segamat Diminta Kumpul Data Masyarakat Mudahkan Saluran Bantuan

SEGAMAT, 8 Nov – Para pentadbir termasuk penghulu dan ketua-ketua kampung di sekitar daerah ini diminta mengumpul data masyarakat di daerah berkenaan, bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada golongan memerlukan khususnya B20.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata pembangunan data yang lengkap sudah tentunya membantu Kerajaan Negeri memberikan penumpuan khusus terhadap usaha membantu golongan berkenaan.

“Kita kena kumpul maklumat, kenali mereka, siapa yang susah, siapa yang perlu bantuan, apa bentuk kesusahan mereka dan bagaimana bentuk bantuan yang kita hendak sampaikan.

“Kita hendak bagi bantuan tunai amat payah sebab kita tiada data yang lengkap. Kalau saya tanya Pegawai Daerah (misalnya) siapa M40 yang memerlukan bantuan…siapakah mereka?” katanya berucap pada Sesi Townhall Jelajah Makmur Johor, di sini hari ini.

Turut hadir, kesemua 10 barisan EXCO Kerajaan Negeri Johor, Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Hasni berkata walaupun pelbagai peruntukan diberikan Kerajaan Pusat kepada masyarakat menerusi pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat lepas, namun, terdapat rungutan dilihat menerusi media sosial oleh kalangan rakyat khususnya M40, yang merasakan mereka tertinggal daripada perancangan belanjawan berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri sehubungan itu perlu mengetahui golongan yang tertekan seumpama itu dan memerlukan data yang lengkap dalam membantu golongan terbabit supaya dapat menambah baik penyampaian bantuan kepada mereka.

“Kita juga akan lebih fokus terhadap golongan B20 yang betul-betul terkesan…siapa mereka? pelajar…mahasiswa yang ada di daerah ini (Segamat)…kenali mereka, simpan data-data mereka…termasuk juga penjaja atau PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana), yang mana ada lesen…yang mana benar-benar terkesan.

“Majlis Daerah Labis, Majlis Perbandaran Segamat perlu kumpul maklumat sama ada yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya. Begitu juga yang terlibat dalam aktiviti perniagaan dalam talian…kenali mereka, ketahui mereka,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.