Naik Taraf Sistem Bekalan Air Tingkat Keyakinan Pelabur – MB Pahang

KUANTAN, 7 Nov – Peruntukan RM45 juta bagi menaik taraf sistem pembekalan air terawat ke Gebeng di sini yang diumumkan oleh Belanjawan 2021 semalam, dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk datang melabur di kawasan perindustrian itu.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia melibatkan kerja menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Semambu dan Rumah Pam Air Kobat yang kini menampung permintaan air terawat yang semakin meningkat dari kawasan itu.

Beliau berkata menerusi peruntukan itu, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dapat menggantikan 11 pam sedia ada di rumah pam, yang seterusnya mampu meningkatkan kapasiti LRA Semambu sebanyak 20 peratus, daripada 290 juta liter sehari kepada 350 juta liter sehari.

“PAIP menjangkakan kerja menaik taraf ini dapat diselesaikan dalam tempoh 10 bulan, termasuk bagi proses reka bentuk dan perolehan yang dijangka mengambil masa selama empat bulan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy juga terterima kasih dengan pengumuman peruntukan projek baharu dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan yang turut melibatkan dua projek di Pahang, iaitu jajaran baharu lebuh raya Central Spine Road dan jalan pintasan di Cameron Highlands.

Pelaksanaan projek itu, apabila kelak siap menurut Wan Rosdy dapat memendekkan tempoh perjalanan antara destinasi di kawasan terlibat, selain mengatasi masalah kesesakan yang sedia maklum berlaku setakat ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.