Kerajaan Setuju Laksana Pelarasan Gaji Pegawai Perubatan Kontrak UD41 Ke UD43 – Adham Baba

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Kerajaan bersetuju melaksanakan pelarasan gaji Pegawai Perubatan Kontrak Gred UD41 kepada aras gaji Gred UD43, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Bercakap pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga merancang agar petugas kontrak boleh diserap masuk ke kementerian itu selepas pelarasan gaji dilaksanakan.

“Mereka (UD41) akan diberikan aras gaji jawatan UD43 berbanding pegawai perubatan yang tetap iaitu UD44,” katanya.

Beliau berkata KKM turut merancang menghantar pegawai perubatan tempatan berkhidmat di England, United Kingdom dan terma serta syarat penghantaran kumpulan itu telah dikemas kini.

Katanya langkah itu membolehkan pegawai terlibat diberi kelayakan untuk kenaikan pangkat selain melatih mereka menjadi pakar perubatan.

Mengulas komitmen kerajaan untuk mendapatkan vaksin COVID-19, Dr Adham berkata selain menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global iaitu COVAX, kerajaan turut menjalin kerjasama dua hala dengan beberapa calon vaksin lain untuk mendapatkan akses kepada vaksin itu.

Beliau berkata apabila vaksin diperoleh, keutamaan akan diberikan kepada petugas barisan hadapan serta kumpulan berisiko tinggi dijangkiti virus itu seperti kanak-kanak.

“Akses kepada vaksin ini mesti selamat, berkesan dan terjamin.

“Oleh itu, diharap dengan ada banyak usaha melalui kerjasama dua hala, akses vaksin dapat diperoleh dan saya menjangkakan suku pertama tahun depan kita dapat vaksin tersebut,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.